JUN 2022

Sarawak Kekal Lokasi Pelaburan Menarik – Awang Tengah


PERTH: Rombongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MINTRED) Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah melawat ibu pejabat Fortescue Future Industries (FFT) di sini baru-baru ini.

Dalam rangka lawatan selama dua jam itu, rombongan MINTRED diberi taklimat mengenai cadangan FFT untuk membina loji pengeluaran gas hidrogen di Sarawak.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa berucap pada majlis itu menegaskan, Sarawak kekal sebagai tempat pelaburan menarik.

“Sarawak mengalu-alukan projek yang dicadangkan itu sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk membolehkan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Strategi PCDS 2030 untuk mewujudkan kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.

“Sarawak mahu membangunkan teknologi hijau bagi menangani pemanasan global dan konflik antara Rusia-Ukraine akan mempercepatkan usaha kita mahu membangunkan sumber tenaga hijau alternatif daripada terlalu bergantung kepada bahan bakar fosil,” tambah Awang Tengah.

Hadir sama Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datuk Abdullah Zaidel, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Penasihat MINTRED, Datuk Naroden Majais dan Pegawai Khas MINTRED, Datu Liaw Soon Eng.

Sumber dari : Jiwa Bakti